Monday, 21 January 2013

Ujian

Tahankah Kita Pada Ujian??

Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji iaitu sabar, redha, tawakal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah, harapkan pertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya. Berasa diri berdosa juga adalah juga sifat terpuji. Sebab itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau lalai daripada mengingati Allah, Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya agar hamba itu tadi tidak terus tenggelam dalam dosa dan noda.
Kadangkala Allah dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai  orang tahu. Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi ingatan supaya kita bertaubat dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu sehingga bila-bila. Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah bertaubat bersungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu).
Bagi orang yang Allah kasih, maka di dunia lagi Allah jatuhkan hukuman bukannya di akhirat. Yakni dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya. Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita. Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya, tidak dihukumnya kita di akhirat kerana penderitaan di neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia.

Wallahua’lam

Petikan dan suntingan dari ’Solusi’ panduan hidup bersyariat.

No comments:

Post a Comment