Kaya Ilusi Fakir Hati...
Betapa ramai orang kaya terpaksa hidup ’miskin’ di tengah-tengah kekayaannya. Dia mempunyai harta tetapi tidak dapat menikmatinya. Kononnya mencari harta demi kebahagiaan isteri dan anak-anak tetapi akhirnya mereka menjadi korban kesibukan dan kerakusannya mencari harta tanpa henti. Betapa ramai mereka yang mencari wang sehingga tidak sempat menikmatinya. Menumpuk harta tahun demi tahun sehingga mengabaikan ibubapa, keluarga, kesihatan, kasih sayang dan kejiranan.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda, ”Sesungguhnya yang dinamakan kaya adalah kayanya hati (hati yang selalu berasa cukup). Sedangkan fakir adalah fakirnya hati (hati yang selalu berasa tidak puas)” riwayat Ibn Hibban.
Hati yang berasa puas dengan apa-apa yang ada ialah hati yang qanaah. Qanaah bukan bererti kita malas atau acuh tak acuh dalam mencari rezeki tetapi berasa cukup terhadap apa-apa jua hasilnya setelah berusaha sedaya upaya. Hati mereka tidak tercalarpun oleh rasa bimbang, putus asa, kecewa dan marah sekalipun rezeki yang mereka miliki tidak seberapa. Inilah kaya yang sebenarnya kerana kualiti jiwa tidak akan tergugat oleh kuantiti harta.
Rasulullah s.a.w telah menggambarkan keadaan orang yang dikurniakan sifat qanaah ini melalui sabdanya yang bermaksud, ”Sesiapa dari kamu yang berasa aman di rumahnya, sihat tubuh badannya dan memiliki makanan untuk hari itu, ia seakan-akan telah dikumpulkan untuknya dunia beserta isinya.” riwayat al Tarmidzi.
Kaya ilusi akan hidup dalam dunia fantasinya, dirasakan dialah yang paling kaya tetapi hakikatnya dialah yang paling miskin kerana sifatnya yang tidak pernah puas dan menghambakan diri terhadap sesuatu. Tenaga semakin berkurangan, usia semakin senja..dalam hatinya cuma ada suara: ”hartaku, hartaku..” hakikatnya harta itu bukan miliknya lantaran akan menjadi milik waris-waris yang ditinggalkan. Jutawan ilusi hanya umpama seorang jaga yang mengawal jutaan wang dalam bank yang bukan miliknya!
Wallahua’lam
Petikan dan suntingan dari ’Solusi’ panduan hidup bersyariat.
No comments:
Post a Comment