Suatu hari seorang pengemis berpakaian lusuh dan hina datang ke madrasah tempat Said al Nursi menuntut ilmu. Seorang demi seorang para pelajar dihampiri, untuk meminta sedikit makanan. Namun setiap pelajar yang didekatinya akan menjauh. Mereka menghindar kerana geli dan jijik melihat penampilan pengemis tua yang hina itu.
Berbeza dengan Said al nursi, dia berasa sangat kasihan. Beliau segera turun dari biliknya lalu memberikan bekalan makanan daripada ibunya kepada pengemis itu. Bukan setakat itu malah beliau makan bersama pengemis itu dengan penuh tawaduk sambil berbincang cukup lama dengannya. Tidak ada perasaan geli atau jijik apalagi keangkuhan dalam hatinya.
Beberapa hari selepas itu, seisi madrasah menyaksikan ”kelahiran baru” Said al Nursi. Beliau menjadi pelajar yang sangat cerdas dan penuh hikmah. Beberapa tahun selepas hari itu, seluruh Turki Uthmani menyaksikan tokoh ini memimpin gerakan Risalah al Nur (risalah cahaya) menyebarkan kesedaran Islam di tengah-tengah arus sekularisme yang sedang menguasai negara itu. Beliau tampil sebagai seorang ulama dan pemimpin negara yang disegani. Ajaran-ajaran hikmahnya terus bersinar hingga ke hari ini.
Said al Nusri (w. 1960) pada asalnya hanyalah seorang pelajar biasa. Hafalan dan kecerdasannya pun biasa-biasa sahaja. Tiada kelebihan yang ia miliki hingga mengatasi pelajar-pelajar lain di sekolahnya. Namun perubahan mula terlihat pada diri beliau setelah berlaku kejadian di atas.
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad daripada Abu Said al Khudri, Rasulullah s.a.w bersabda yang bemaksud: ”Sesiapa yang merendahkan dirinya kerana Allah satu darjat, maka Allah akan meninggikannya hingga menempatkannya di ’Illiyin yang tertinggi. Dan sesiapa yang meninggikan dirinya (takabbur) satu darjat, maka Allah akan terus merendahkannya hingga meletakkan namanya bersama orang yang sangat rendah.”
Wallahua’lam
Petikan dan suntingan dari ’Solusi’ panduan hidup bersyariat.
No comments:
Post a Comment