Sunday, 20 January 2013

Cinta Fatamorgana

Cinta Fatamorgana

Apabila usia telah tua, semua nikmat yang bersifat lahiriah dan fizikal mula dicabut. Secara beransur-ansur nikmat makan, nikmat sihat, nikmat tidur, nikmat melakukan hubungan seks dan lain-lain lagi menjadi semakin menurun. Walaupun dipertahankan dengan ubat, makanan tambahan, rawatan, senaman dan sebagainya namun tua tidak dapat dielak. Ini sunnatullah yang tidak dapat diubah-ubah.

Mengapa Allah takdirkan begitu? Tentu ada hikmahnya. Segala kemanisan dan kelazatan dunia mula dicabut perlahan-lahan bila sampai masanya agar manusia beransur-ansur beralih kepada kelazatan rohaniah pada episod-episod terakhirnya dalam hidup. Seolah-olah manusia dipaksa menumpukan fokus hatinya untuk mencintai Allah. Satu persatu kesayangan kita sudah diambil, maka usah berpaling lagi daripada Allah. Rebut dan nikmati cintaNya sebagai bekalan di akhirat nanti.

Apabila kelazatan dunia semakin tawar dan hambar, itu petanda detik berpindah ke alam akhirat sudah dekat. Sediakan bekalan dengan cepat!

Namun malang sekali kalau pada usia senja masih memburu ”cinta fatamorgana”. Ada yang kembali memburu cinta yang tidak kesampaian pada usia mudanya dahulu. Tiba-tiba kekasih lama muncul kembali mungkin menerusi pertemuan yang tidak dijangka atau lewat laman Facebook, Twitter dan sebagainya.

Dunia menipu, cinta memperdaya. Apa yang dilihat indah hanyalah umpama fatamorgana. Panas yang membahang disangka air, lalu kita berebut-rebut mengejarnya. Nampak indah dari jauh, tetapi apabila didekati kosong makna, kontang rasa.

Apabila usia telah tua ertinya Allah telah memanggil, bersedialah untuk pergi. Pergi bukan untuk berpisah tetapi untuk bertemu denganNya. Di sana ada cinta yang lebih bahagia dan lebih sempurna. Jangan terkesima lagi dengan ”cinta fatamorgana”!

Wallahua’lam

Petikan dari 'solusi' panduan hidup bersyariat.

No comments:

Post a Comment