Thursday, 17 January 2013

Doa Mustajab atau terhijab

Santapan Minda 3

Doa – mustajab atau terhijab?


Berdoa adalah satu langkah yang produktif bahkan menurut pandangan ulama tasawuf, apabila Allah telah ringankan lidah seseorang hambanya untuk berdoa, itu petanda Allah telah memberi lampu hijau untuk memperkenankan doa itu. Kata Imam Ibn Ata’illah: ”Tatkala Allah membukakan mulut anda dengan bermohon kepadaNYA maka ketahuilah, sesungguhnya Allah berkehendakkan doa anda diperkenankan.”

Yakinlah bahawa apabila Allah telah mengilhamkan kepada hati kita untuk berdoa, maka sudah tentu Allah akan memperkenankan doa kita itu. Tetapi jika Allah tidak berkehendak untuk memperkenankan sesuatu doa, maka sudah tentu dia tidak mengilhamkan kepada hati kita ke arah itu.

 

Bukan mudah bagi seorang hamba menggerakkan hati dan lidahnya untuk berdoa jika tidak kerana taufik dan hidayah Allah. Apabila hati dilembutkan untuk berdoa, bererti seseorang itu telah merasakan kefakirannya di hadapan Allah. Apabila kita sudah benar-benar berhajat kepadaNYA maka Allah pasti tidak akan mengecewakan hajat kita itu.

Sebenarnya doa itu sendiri merupakan satu kurnia daripada Allah. Malah doa itu modal asas yang memungkinkan seseorang itu menerima kurnia-kurnia Allah selanjutnya. Malangnya tidak ramai dalam kalangan kita yang mengetahui hakikat ini.

 

Firman Allah yang bermaksud: ”Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa, dan menghilangkan keburukan dan menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi? Apakah ada di samping Allah tuhan (yang lain)? Terlalu sedikit kamu mengingatiNYA (surah al Naml 27:62)

 

Hamba Allah yang benar-benar mengenal Allah dapat merasakan apabila seseorang itu  diizinkan Allah untuk mengucapkan doa, adalah lebih berharga daripada termakbulnya doa itu kerana ada sebahagian orang yang dikelukan lidah lalu tidak mampu berdoa!



Wallahua’lam

 

Petikan dan suntingan dari ’Solusi’ panduan hidup bersyariat.

 

No comments:

Post a Comment