Monday, 21 January 2013

Kuat dan Lemah

KEKUATAN MENEMUKAN KELEMAHAN

 

Allah memberikan manusia kelebihan untuk kita berperanan. Allah memberikan manusia kelemahan untuk kita mencari DIA. Manusia tidak mampu sentiasa kenyang, sampai masa dia akan lapar dan kelaparan itu mendesak dirinya mencari makanan, lalu kelemahannya dapat diatasi buat sementara. Manusia tidak mampu untuk sentiasa segar, dia akan letih dan mengantuk. Tanpa perlu diajar-ajar, keletihan dan mengantuk itu mendesak dirinya untuk mencari kerehatan. Hasilnya manusia memulihkan kekuatan, buat seketika.

 

Itu kelemahan fizikal manusia. Tanpa perlu diajar-ajar, kelemahan itu memandu manusia kepada sumber kekuatan untuk mengatasinya. Kelemahan yang muncul dalam bentuk kelaparan, mendesak manusia mencari kekuatan melalui makan. Kelemahan yang muncul dalam bentuk letih dan mengantuk, mendesak manusia mencari kekuatan melalui kerehatan dan tidur.

 

Kelemahan dan batasan menusia bukan hanya pada fisiologi dirinya bahkan jiwa, emosi dan rohani.. tanpa perlu diajar-ajar, manusia yang ditindas dan dizalimi akan merintih jiwanya mencari keadilan dan itulah jalan untuk dia bertemu dengan Tuhan! Di situ Allah memperkenalkan DiriNya sebagai Yang Maha Adil (ad ‘Adl).

 

Tanpa perlu diajar-ajar, manusia yang keresahan dan ketakutan akan merintih jiwanya  mencari keamanan dan keselamatan dan itulah jalan untuk dia bertemu Tuhan! Di situ Allah memperkenalkan DiriNya sebagai Yang Maha Sejahtera (al Salam) dan Yang Maha Mengamankan (al Mu‘min).

Di situlah Tuhan memperkenalkan DiriNya dengan 99 nama agar setiap manusia datang kepadaNya melalui tawaran kekuatan, tatkala menusia dibelenggu kelemahan.

 

Soalnya..manusia hanya berhajat kepada Tuhan apabila mengiktiraf kelemahan diri. Dikala segalanya berjalan lancar, manusia lupa dan alpa dengan segala kelebihan yang dianugerahkan Tuhan kepadanya. Diberi akal, mata dan telinga untuk melihat dengan hati tetapi kesibukan duniawi menjadikan manusia lupa siapa diri dan siapa DIA! Selayaknya manusia yang alpa ini dihukum Tuhan kerana culas dan malas dalam mencari...

 

Wallahua‘lam

 

 Petikan dan suntingan dari ’Solusi’ panduan hidup bersyariat.

No comments:

Post a Comment