Fokus pada kelebihan... Tidak kepada Kekurangan
Perhatikan cicak
yang melekap di siling atau di dinding. Cicak memiliki kaki yang cukup
unik..dapat melekat, melompat dan mendakap dengan begitu kuat dan cekap. Aneh
sekali, makanan cicak ialah serangga yang boleh terbang. Lalat, kumbang kecil,
nyamuk dan seumpamanya.
Kalau difikir
secara logik, mana mungkin cicak yang hanya ada kaki yang melekap di dinding
dan di siling mampu memburu mangsanya yang boleh terbang. Bukankah lebih sesuai
jika Allah kurniakan untuk cicak sepasang sayap agar cicak juga mampu terbang
bagi memburu mangsanya? Barulah adil.
Tetapi Allah SWT
Maha Mangetahui. Sungguhpun cicak tidak dikurniai sayap, Allah mengurniakannya
lidah yang panjang, mata yang tajam dan kecekapan yang luar biasa untuk
mendapatkan rezekinya. Secara mudah, cicak
tidak fokus pada kekurangannya sebaliknya ia menggunakan segala kelebihan yang
ada. Hasilnya cicak tetap dijamin rezekinya. Ini yang manusia dapat
pelajari dari cicak.
Sebagai manusia,
kita ada kelebihan dan kekurangan. Justeru, untuk berjaya kita perlu tumpukan pada kekuatan yang ada. Mungkin
kita miskin tetapi itu bukan penghalang untuk berjaya..tumpukan pada kerajinan
kita. Mungkin fizikal kita agak lemah tetapi pertajamkanlah pemikiran kita.
Mungkin kita
tidak berkelulusan tinggi tetapi kita masih boleh membina kredibiliti dengan menjalin
hubungan yang baik dengan ketua, rakan sekerja dan dengan pelanggan syarikat.
Dan kita masih berpeluang meningkatkan nilai potensi diri dengan bekerja secara
bijak, memanfaatkan masa bekerja secara optimum dan menambah ilmu serta
kemahiran. Tegasnya, jangan jadikan
kekurangan sebagai satu alasan..tetapi tukarkan ia menjadi satu kelebihan!
Jadi apabila
melihat cicak, kita harus sedar bahawa kita lebih mulia daripada cicak. Jika
cicakpun ada kelebihannya, manusia sebagai khalifah Allah yang hebat tentu
punya lebih daripada itu. Pandang kelebihan yang ada pada manusia. Percayalah, kelebihan pada diri kita lebih
banyak dari kekurangannya. TUMPUKAN, GUNAKAN dan TINGKATKAN KELEBIHAN DIRI
UNTUK BERJAYA!!!
Wallahua’lam
Petikan dan suntingan dari buku ‘Nota
Fikir untuk Zikir‘ – Pahrol Mohd Juoi
No comments:
Post a Comment