Seorang raja sedang menaiki kuda dengan angkuhnya. Dia terserempak dengan seorang petani yang soleh sedang berjalan kaki. Rajapun bertanya, ”Siapa kamu? Petani yang soleh itu menjawab, ”Aku seorang raja”. Raja tertawa kemudian terus berkata dengan nada menyindir, ”Raja kerajaan mana?” Petani menjawab, ”Raja untuk kerajaan diriku.” Raja terdiam. Petani itu pula bertanya, ”Adakah tuanku menjadi raja kepada diri sendiri?” Raja terus terdiam kerana faham maksud kata-kata petani yang soleh itu.
Begitulah kehidupan kita sehari-hari. Ramai orang besar yang hakikatnya hanya insan kerdil kerana tidak mampu melawan hawa nafsu sendiri. Kuasa, ilmu, harta dan nama yang tersohor tidak membawa makna dan kebahagiaan dalam hidup sekiranya hidup diperkotak-katikkan oleh hawa nafsu. Hal ini kerana nafsu itu sifat tabiinya hanyalah mengarah kepada kejahatan. Maka hidup seseorang yang dikuasainya hanya akan penuh dengan kejahatan. Jika demikian, mana ada ketenangan dan kebahagiaan?
Jika kita menguasai diri, kita akan menguasai dunia, demikian kata cerdik pandai. Tetapi bagaimana pula kalau kita gagal menguasai diri? Ya, pasti kita pula yang akan dikuasai dunia. Jika demikian amat buruk akibatnya lantaran dunia itu adalah ’hamba’ yang baik tetapi ’tuan’ yang sangat jahat. Orang yang berjaya adalah orang yang gigih mencari kebaikan dunia tetapi selamat daripada tipuannya. Firman Allah yang bermaksud: ”Sesungguhnya tiadalah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (surah al An’am 6:32)
Imam al Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekaligus, melainkan perlu ditahan secara bertahap-tahap. Latihan menundukkan hawa nafsu perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: ”Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan sekalipun sedikit.” (riwayat Ibn Majah).
Wallahua’lam
Petikan dan suntingan dari ’Solusi’ panduan hidup bersyariat.
No comments:
Post a Comment