Sunday, 27 January 2013

Hati...

Pengurusan Hati....


Menilai susah senang atau ujian yang menimpa diri kita bukan hanya dengan logik akal semata tetapi hendaklah juga menilainya dengan pandangan mata hati. Kalau kita menilai hanya dengan akal semata-mata, kita akan berusaha untuk tidak mahu menghadapi kesusahan atau cabaran itu. Kita akan mencari jalan untuk mengelak daripada menempuhnya.

Hakikatnya kesusahan atau cabaran itu ialah anugerah daripada Allah. Ia takdir dari  Allah yang tidak boleh kita elakkan. Kesusahan, kegagalan ialah prasyarat untuk seseorang berjaya. Kita tidak akan berjaya kalau tidak sanggup mencuba dan kita tidak akan mencuba kalau kita takut susah, takut gagal, takut dikata orang dan sebagainya.

Susah senang hendaklah dilihat dengan mata hati. Apabila kita merasa susah, kecewa, sakit hati, takut, bimbang dan sebagainya dengan ujian yang datang daripada Allah, ini menunjukkan bahawa keyakinan kita kepada Allah masih tipis. Pengharapan kita pada Allah tidak besar dan pergantungan kita kepadaNya tidak tinggi. Kalau perasaan-perasaan ini datang kepada kita apabila menghadapi kesusahan dalam bentuk apa sahaja ujian, menandakan hubungan kita dengan Allah masih belum teguh.

Perasaan-perasaan seperti ini sebenarnya petunjuk daripada Allah, memberi isyarat kepada kita untuk meningkatkan keyakinan dan merapatkan lagi hubungan kita denganNya. Meningkatkan lagi kualiti ibadah kita kepadaNya agar iman kita
terus meningkat.

Orang yang benar-benar beriman apabila menghadapi ujian hidup, mereka hadapi dengan hati yang tenang. Seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud, ”Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap sesuatu.” (surah al Taghabun 64:11)

Wallahua’lam

Petikan dan suntingan dari ’Solusi’ panduan hidup bersyariat.

No comments:

Post a Comment