Monday, 21 January 2013

Syurga Dunia

Syurga Dunia ... Rumahku Syurgaku

Ada syurga di wajahmu begitulah lirik lagu yang pernah kita dengar. Apakah ada syurga di dunia ini?Jawabnya, ya ada? Memang ada syurga di dunia ini dan hidup kita di dunia adalah perjuangan untuk menikmati syurga itu. Ia bukan syurga yang hakiki (yang tentunya jauh lebih indah dan besar nikmatnya), tetapi syurga dalam bentuk ketenangan hati dan keharmonian jiwa. Syurga itu dinamakan oleh ulama-ulama tasauf (sufi) al-jannah al-‘ajilah (syurga yang disegerakan). Menurut mereka, sesiapa yang tidak berjaya mendapat syurga di dunia maka dia tidak akan dapat menikmati syurga yang hakiki dan abadi di akhirat kelak. Ketenangan hati di dunia itu amat penting dicapai sebagai jambatan untuk mendapat jambatan di akhirat nanti.

Rumahtangga kerap digelar sebagai syurga dunia. Berjaya menikmati syurga dalam rumahtangga adalah petanda baik untuk dapat menikmati syurga di akhirat nanti. Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa syurga di dunia ini bermula dalam rumah kita, bainati jannati (rumahku, syurgaku). Rumahtangga yang aman damai, penuh kemesraan dan kasih sayang adalah bayangan syurga.

Sekadar meminjam kata-kata hikmah daripada Mother Teresa (kita orang Islam lebih berhak atas hikmah ini) ketika beliau ditanya: Bagaimanakah hendak melahirkan dunia yang lebih aman?“ jawapan beliau ringkas, Pulanglah ke rumah masing-masing dan sayangilah keluarga anda.“.

Rumahtangga umpama satu nukleus yang memulakan segala-galanya. Jika baik rumahtangga maka baiklah masyarakat. Ironinya kerap terjadi seorang presiden yang berbicara tentang keamanan, pulang dengan masam muka bertemu anak-anaknya di rumah. Acapkali seorang perdana menteri yang kononnya juara kedamaian, menjadi suami tuli dan bisu atas luahan isteri sendiri. Betapa ramai pemimpin yang begitu hebat mengetuai organisasi dan masyarakat, kecundang dalam memimpin keluarganya sendiri!

Kembalilah kepada rumahtangga dan keluarga kita...itulah syurga dunia
  
Wallahua‘lam

Petikan dan suntingan dari ’Solusi’ panduan hidup bersyariat

No comments:

Post a Comment