Seorang Tok Guru telah dijemput ke suatu majlis jamuan makan. Dengan pakaian yang sangat sederhana, Tok Guru itupun pergi ke majlis tersebut. Malangnya setibanya di majlis itu dia tidak dirai atau dijemput untuk makan. Tuan rumah lebih mengutamakan orang kenamaan, orang yang kaya, berpangkat dan orang ternama sahaja. Tok Guru dipinggirkan.
Menyedari sikap ’pilih bulu’ tuan rumah, Tok Guru pulang semula ke rumahnya lalu menukar pakaian. Kali ini beliau memakai pakaian yang mahal dan bergemerlapan. Kemudian dengan segera beliau pergi semula ke majlis tersebut. Kali ini beliau disambut dengan mesra dan dijemput dengan hormat untuk menjamu selera makanan yang lazat-lazat oleh tuan rumah.
Tiba-tiba Tok Guru menuangkan lauk pauk dan makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah ke atas bajunya, seluar dan seluruh pakaiannya yang mahal itu. ”Mengapa?” tanya orang ramai.
Tok Guru menjawab, ”Tuan rumah hendak menjamu pakaianku, bukan diriku!”
Pengajaran: pandangan kita terhadap diri sendiri adalah jauh lebih penting daripada pandangan orang lain terhadap diri kita. Inilah yang dikatakan harga diri dan inilah syarat utama untuk berjaya dalam hidup. Jadi, jangan risau kalau kita tidak dihargai tetapi risaulah kalau benar-benar diri kita sudah tidak berharga. Harga diri kita bukan terletak pada barang-barang yang bernilai yang kita pakai atau miliki tetapi pada ilmu, akhlak dan takwa yang ada dalam diri kita.
Wallahua’lam
Petikan dan suntingan dari ’Solusi’ panduan hidup bersyariat.
No comments:
Post a Comment