Monday, 21 January 2013

Musibah

APa iTu MuSiBah??

Secara ringkasnya musibah ditakrifkan sebagai segala sesuatu yang tidak disukai oleh manusia iaitu berupa kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan, bencana daln lain-lain. Allah pasti menguji kita dengan sesuatu yang tidak kita sukai. Kita tidak sukakan kematian tetapi siapa yang boleh mengelak daripada mati? Kita benci kesakitan tetapi itu adalah lumrah hidup. Lalu hati kita bertanya lagi, mengapa Allah datangkan semua itu? Apa perlunya musibah?

Musibah ditakdirkan untuk menyerlahkan nilai diri kita di sisi Allah. Terutamanya Allah hendak menilai (walaupun hakikatnya Allah Maha Mengetahui) sejauh mana keimanan hati kita. Sabda Rasulullah yang bermaksud, ”Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu.”

Dengan ujian sakit, barulah diketahui tahap kesabaran  dalam hati kita. Apabila diuji dengan peperangan, baru terserlah tahap keberanian kita. Khususnya bagi orang beriman, ujian didatangkan untuk menilai dan mengukur semula sejauh mana keimanan kita kepada Allah.

Dalam apa jua keadaanpun kita wajib yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Istilah buruk hanya ada dalam rumus pemikiran manusia. Manakala di sisi Allah, segalanya punya maksud baik walaupaun kadang-kadang pada zahirnya tidak begitu. Kelihatannya sangat pahit tetapi sebenarnya ia manis dan indah. Hanya apabila hikmahnya dapat dicungkil, Insyaallah.

Mengetahui dan merasai hikmah sesuatu musibah akan dapat meringankan beban perasaan dan menjawab banyak tandatanya dalam jiwa terhadap perkara-perkara yang tidak selari dengan kehendak kita. Ia adalah syarat bahagia dan ketenangan jiwa. Apapun, hanya mereka yang sempurna akal dan penelitiannya sahaja yang dapat menjangkau hikmah yang tersirat di sebalik cubaan dan bala yang menimpa.

Wallahua’lam

Petikan dan suntingan dari ’Solusi’ panduan hidup bersyariat.

No comments:

Post a Comment