Monday, 21 January 2013

Kualiti Iman Bahagian III

Kualiti hati pada kemanisan IMAN
  
Apa itu kemanisan iman? Ia adalah satu rasa tenang, bahagia dan aman dalam jiwa seseorang hasil keyakinannya yang tinggi kepada Allah, al Kitab, Rasul dan lain-lain rukun iman. Ia adalah kemanisan yang bersifat maknawi yakni tidak dapat dirasai dengan pancaindera tetapi hanya dapat dirasai oleh hati. Orang yang telah rasai kemanisan iman akan merasai keindahan dalam melakukan ketaatan dan bahagia ketika meninggalkan kejahatan. Apabila musibah mlelanda, ia mampu sabar dan redha, bahkan dia sanggup mati dalam menemui kecintaanNya (Allah)

Hati yang kuat akan memandang segala-galanya secara positif, mentafsirkannya secara positif dan bertindak secara positif. Inilah yang disebut oleh pakar motivasi sebagai berfikir secara positif. Apabila kita berfikir secara positif, segala yang positif akan tertarik kepada kita. Ini yang dikatakan sebagai ’hukum tarikan’ dalam kehidupan (law of attractions).

Tidak ada rasa sukar, penat, bosan, rugi dan lain-lain. Ia sesungguhnya mengatasi segala kemanisan duniawi. Mereka yakin bahawa apa-apa jua yang ditakdirkan oleh Allah adalah baik belaka. Hasil kepada keyakinan itu mereka mampu menukar segala yang buruk menjadi kebaikan, segala kekurangan menjadi kelebihan, segala yang pahit menjadi penawar dan segala yang kotor menjadi bersih dan jernih. Dalam jiwa mereka seolah-olah ada penapis yang mampu menapis segala yang negatif menjadi positif.

Justeru, menjadi kewajipan kita untuk memburu kemanisan iman. Ia perlu dijadikan agenda utama dalam hidup mengatasi segala-galanya. Bahkan jika disedari, pemburuan untuk merasai kemanisan iman ini adalah agenda seumur hidup. Kita hidup dengan iman, mati dengan iman dan pinta masuk ke syurga dengan iman. Mana mungkin kita boleh melakukan segala-galanya jika iman terasa pahit, pedih dan perit. Hanya orang yang rasa manis dengan iman sahaja yang mampu hidup dan mati bersamanya!

 Wallahua‘lam

 Petikan dan suntingan dari ’Solusi’ panduan hidup bersyariat

No comments:

Post a Comment