Rancang dan
bekerjalah dengan apa yang ada di tangan. Jangan bimbang akan hal-hal tidak
menentu dalam angan-angan. Yang di tangan itulah yang sebenar, yang dalam
angan-angan itu masih samar. Kata cerdik pandai, ”beradalah di tempat kamu
berada”. Maksudnya jangan lari dari realiti. Usah absent minded. Hidup dan
beradalah dalam hari ini, jangan khuatiri hari esok dan jangan bimbangkan hari
semalam.
Hidup adalah satu
pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hukum alam (sunnatullah) menetapkan
bahawa yang tidak berubah hanyalah ’perubahan’. Oleh kerana itu adalah satu
kerja gila jika kita hendak menyelesaikan masalah-masalah masa depan yang pada
hakikatnya belum berlaku. Jangan cuba mengambil tempat Tuhan untuk mengawal
semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah DIA yang tidak
berubah-ubah. Inilah hikmah mengapa Qada’ dan Qadar Allah dirahsiakan daripada
pengetahuan manusia agar dengan itu manusia boleh hidup tanpa diganggu wakau
sedikitpun pengetahuan tentang masa depan.
Dapatkah seorang
yang sihat makan dengan enak jika mengetahui pada hari esoknya dia akan mati
mengejut? Manusia boleh hidup dengan aman tanpa mengetahui masa depannya. Madah
pujangga: ”Masa lalu adalah kelmarin
yang telah mati, masa depan adalah esok yang belum lahir tetapi selamatkanlah
hari ini yang sedang hidup”.
Mungkin anda akan
bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan? Tidak. Pendek angan-angan bukan bererti tidak
bersedia untuk hari esok. Fikirkan hari esok tetapi jangan khuatir. Sesiapa
yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari
ini. Sebaliknya sesiapa yang berfikir untuk hari esok, akan memanfaatkan
peluang pada hari ini.
Wallahua’lam
Petikan dan suntingan dari ’Solusi’ panduan
hidup bersyariat.
No comments:
Post a Comment