Ramai orang lupa bahawa masa itu adalah makhluk Allah. Kita diciptakan dan diletakkan dalam perjalanan makhluk masa ini. Masa itu tiada siapa yang dapat menongkah pusingannya. Ia merubah segala-gala. Dari yang tiada kepada ada. Dari yang ada kepada tiada. Tiada siapa yang mampu menghalangnya melainkan Tuhan yang menciptakannya. Masa mengubah kita. Mengubah anggapan manusia sesama mereka. Ia mengubah perasaan dan rasa. Ia mengubah benci dan cinta. Ia mengubah gembira dan duka.
Namun waktu tidak boleh mengubah hakikat sesuatu di sisi Allah. Di sisi Allah, insan yang mulia tetap mulia walaupun manusia menghinanya. Insan yang keji tetap keji, walaupun manusia memberikannya kuasa dan harta.Ya, waktu dan masa akan terus menjelang, mengejar sang raja, juga mengejar si miskin yang tiada apa-apa. Mengejar kita semua untuk sampai ke perhentian masing-masing. Apabila sampai ke detik penghabisan, kita bertemu Tuhan. Ketika itu yang dinilai adalah hakikat yang sebenar, antara insan yang beruntung dan insan yang rugi.
Jika Allah berkati masa kita bererti berlaku penambahan dan kebaikan. Masa sejam yang diberkati tentu berbeza dengan sejam yang tidak diberkati. Setahun yang diberkati tentu berbeza dengan setahun yang tidak diberkati. Insan-insan yang berkhidmat untuk kemaslahatan manusia, Allah berkati umur mereka. Hasil yang dikeluarkan dan jasa ditaburkan kadang-kala tidak dapat dilakukan oleh orang lain walaupun jika berikan masa yang berganda.
Kita tidak boleh mengubah masa, tetapi kita boleh menjadikan masa itu berkat dengan doa dan usaha-usaha yang ikhlas dan baik. Berapa banyak rancangan buruk orang kepada kita, Allah tukar ia menjadi keuntungan dan kebaikan. Betapa banyak rancangan yang hebat, Allah tukar ia menjadi kerdil.
Wallahu’alam
Petikan dan suntingan dari ’Minda Tajdid’ (Dr. Mohd Asri Zainal Abidin)
No comments:
Post a Comment