Kisah ini menceritakan betapa seorang ibu mengeluh tentang kelakuan buruk anaknya. Anak tersebut sangat suka mencuri, puas dinasihatkannya tidak juga berkesan. ”Sudah saya ambil pensil dan pemadam pejabat saya bekerja dan saya berikan kepadanya, tapi dia tetap mencuri juga.”
Saya pasti anda pasti tersenyum mendengar cerita ibu ini. Ibu yang umpama ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Ibu yang mencuri harta pejabat untuk menyelesaikan masalah anaknya yang mencuri.
Mungkin tanggapan sesetengah pihak adalah tidak logik mengaitkan perlakuan seseorang dengan sumber rezeki yang dimakan, diguna atau dimanfaatkannya. Mana rasionalnya mengaitkan perlakuan anak yang mencuri dengan perlakuan ibu yang mencuri misalnya? Tetapi itu berbeza dengan pandangan ulama-ulama Islam khususnya para pendidik yang melihat secara tersirat yang selaras dengan pandangan syariat.
Mereka yang benar-benar beriman akan menjaga sumber rezeki dengan berhati-hati, yang syubhat dijauhi sedaya mungkin apalagi dengan yang haram. Perlakuan haram dan berdosa memberi kesan langsung kepada pembentukan peribadi kita, ahli keluarga bahkan generasi kita!. Akibat sumber rezeki yang haram, anak, isteri malahan diri kita sendiri akan cenderung untuk melakukan kejahatan. Isteri mungkin curang, anak-anak mungkin menjadi degil dan payah diurus. Pendekata, individu yang dibesarkan dengan sumber rezeki yang haram akan mudah melakukan kejahatan dan sukar menterjemahkan kebaikan.
Sumber rezeki yang haram bukan sahaja menyebabkan akan menghadapi seksa di akhirat bahkan di dunia lagi sudah terasa bahangnya. Bukan sahaja seksa di penjara, didenda dan disebat tetapi ‘seksaan dalaman‘ yang berbentuk keresahan, kebimbangan, kemurungan, ketakutan dan lain-lain perasaan negatif akan menghantui kita sepanjang hidup!
Wallahua’lam
Petikan dan suntingan dari ’Solusi’ panduan hidup bersyariat.
No comments:
Post a Comment