Masakan ibu
adalah masakan yang paling sedap, begitu selalunya dikata orang dan
realitinyapun begitu. Percayalah..seorang anak akan sentiasa merindui masakan
ibunya jika terpisah sekian lama walaupun si anak mungkin pernah menjamah
makanan yang lebih mahal, eksotik dan sebagainya tetapi manakan sama masakan
ibu. Mengapa?
Benarkah air
tangan itu yang memberi kelazatan pada makanan yang dimasak. Hakikatnya itu
bukan sebabnya. Air tangan yang dimaksudkan bukanlah ’air’ dalam erti kata
fizikal tetapi air tangan sebenarnya
ialah aliran kasih sayang, kesungguhan, keceriaan dan ketulusan hati seorang
ibu yang memasak untuk anaknya. Hati ltulah yang mengalirkan ’air tangan’.
Pakar motivasi dan psikologi sepakat menegaskan bahawa
orang yang melakukan kerja dengan penuh kasih sayang, ceria dan tulus, hasil
kerjanya akan berkualiti. Dorongan kerjanya bukan untuk ’mendapat’ tetapi untuk
’memberi’. Seorang ibu yang memasak adalah didorong untuk ’memberi’
kasih sayang kepada anaknya berbanding seorang ’chef’ yang memasak atas
dorongan ganjaran komersil.
Ya, ibu memasak
untuk memberi sedangkan chef memasak untuk menerima. Memberi itu lebih gembira
daripada menerima apabila ia ditunjangi rasa kasih sayang. Orang yang
melaksanakan kerja dengan gembira pasti kualiti dan nilainya tinggi. Niat untuk
memberi itu lebih dekat dengan ikhlas. Ya, ibulah manusia yang paling ikhlas
berbakti untuk seorang anak!
Realitinya ’air
tangan’ bukan hanya ada pada kerja memasak malahan ia ada dalam setiap jenis
pekerjaan. Ia adalah aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir
dalam setiap pekerja, pemimpin, guru, imam, jurutera, doktor, jururawat
sehinggalah seorang buruh kasar. Setiap individu muslim wajar bekerja kerana
ALLAH untuk berkhidmat sesama manusia. Seorang yang paling kasihkan ALLAH,
dialah yang paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi
kualiti kerjanya.
Sabda Rasulullah
s.a.w, ”Bahawasanya ALLAH SWT suka
apabila seseorang daipadamu membuat sesuatu kerja, dia memperelokkan kerjanya.”
Wallahua‘lam
Petikan dan suntingan dari buku ‘Di Mana
DIA Di Hatiku‘ (best seller) Pahrol Mohd Juoi
No comments:
Post a Comment