Sunday, 27 January 2013

Hati...

Pengurusan Hati....


Menilai susah senang atau ujian yang menimpa diri kita bukan hanya dengan logik akal semata tetapi hendaklah juga menilainya dengan pandangan mata hati. Kalau kita menilai hanya dengan akal semata-mata, kita akan berusaha untuk tidak mahu menghadapi kesusahan atau cabaran itu. Kita akan mencari jalan untuk mengelak daripada menempuhnya.

Hakikatnya kesusahan atau cabaran itu ialah anugerah daripada Allah. Ia takdir dari  Allah yang tidak boleh kita elakkan. Kesusahan, kegagalan ialah prasyarat untuk seseorang berjaya. Kita tidak akan berjaya kalau tidak sanggup mencuba dan kita tidak akan mencuba kalau kita takut susah, takut gagal, takut dikata orang dan sebagainya.

Susah senang hendaklah dilihat dengan mata hati. Apabila kita merasa susah, kecewa, sakit hati, takut, bimbang dan sebagainya dengan ujian yang datang daripada Allah, ini menunjukkan bahawa keyakinan kita kepada Allah masih tipis. Pengharapan kita pada Allah tidak besar dan pergantungan kita kepadaNya tidak tinggi. Kalau perasaan-perasaan ini datang kepada kita apabila menghadapi kesusahan dalam bentuk apa sahaja ujian, menandakan hubungan kita dengan Allah masih belum teguh.

Perasaan-perasaan seperti ini sebenarnya petunjuk daripada Allah, memberi isyarat kepada kita untuk meningkatkan keyakinan dan merapatkan lagi hubungan kita denganNya. Meningkatkan lagi kualiti ibadah kita kepadaNya agar iman kita
terus meningkat.

Orang yang benar-benar beriman apabila menghadapi ujian hidup, mereka hadapi dengan hati yang tenang. Seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud, ”Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap sesuatu.” (surah al Taghabun 64:11)

Wallahua’lam

Petikan dan suntingan dari ’Solusi’ panduan hidup bersyariat.

Assignment Komputer : Sejarah Badminton


https://docs.google.com/presentation/d/1rkV4eQI21AXD34l8DESYqhXQUD99jg47lWL4ZDPiCME/edit

Maafkanlah

Memaafkan...


Selagi kau tidak bahagia dengan kebahagiaan orang lain itu petanda kau sendiri tidak bahagia. Pujuklah dirimu untuk bahagia apabila melihat ’musuh-musuh’mu bahagia. Walaupun pernah disakiti sekali, kau akan disakiti berkali-kali jika terus mengenang perbuatan mereka. Wahai diri, ingatlah..segala gerak dan laku makhluk adalah dengan izin Allah jua.

Jika datang orang menghadiahkan ’airmata’..Allah sedang mendidikmu sifat sabar. Jangan dilihat manusia yang menjadi ’sebab’, lihatlah dengan mata hati yang Allah jua menjadi ’musabbabil asbab’. Jika kau disakiti oleh dia, DIA sedang mengajarmu erti redha.

Kita bukan malaikat untuk terus pasrah tanpa terusik oleh calar dan cakar insan. Namun, ada ketika-ketika yang sangat kritikal untuk kita bertahan dan katakan..’tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini’! Mungkin sahaja ’penjahat’ yang pandai bermuka-muka akan terus dijulang sebagai wira. Dan hamba sejati yang mempunyai ’hati emas’ akan terus dihenyak sebagai tawanan di penjara hiba dan cela.

Bahagialah dengan kebahagiaan orang lain. Terimalah hakikat kita bukan Tuhan yang mencatur rezeki dan nikmat untuk hamba-hambaNya. Jangan kau tanyakan mengapa dia dilebihkan..aku dikurangkan? Mengapa dia yang licik dengan gelecek strategik dimenangkan sedang aku yang bersenjatakan kebenaran dan kesederhanaan selalu dikalahkan.

Di sini tidak lama. Di sana jua tempat berehat segala penat. Keyakinan terhadap hari akhirat akan menyebabkan kita kuat menghadapi tipuan dunia. Keimanan kepada Tuhan akan menimbulkan rasa sabar menghadapi kerenah insan. MAAFKANLAH!!!!

Wallahua‘lam

Petikan dan suntingan dari ’Di Mana DIA Di Hatiku’ (best seller) Pahrol Mohd Juoi

Fikir Jangan Khuatir

Rancang dan bekerjalah dengan apa yang ada di tangan. Jangan bimbang akan hal-hal tidak menentu dalam angan-angan. Yang di tangan itulah yang sebenar, yang dalam angan-angan itu masih samar. Kata cerdik pandai, ”beradalah di tempat kamu berada”. Maksudnya jangan lari dari realiti. Usah absent minded. Hidup dan beradalah dalam hari ini, jangan khuatiri hari esok dan jangan bimbangkan hari semalam.

Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hukum alam (sunnatullah) menetapkan bahawa yang tidak berubah hanyalah ’perubahan’. Oleh kerana itu adalah satu kerja gila jika kita hendak menyelesaikan masalah-masalah masa depan yang pada hakikatnya belum berlaku. Jangan cuba mengambil tempat Tuhan untuk mengawal semua perubahan kerana yang mampu mengawalnya hanyalah DIA yang tidak berubah-ubah. Inilah hikmah mengapa Qada’ dan Qadar Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia agar dengan itu manusia boleh hidup tanpa diganggu wakau sedikitpun pengetahuan tentang masa depan.

Dapatkah seorang yang sihat makan dengan enak jika mengetahui pada hari esoknya dia akan mati mengejut? Manusia boleh hidup dengan aman tanpa mengetahui masa depannya. Madah pujangga: Masa lalu adalah kelmarin yang telah mati, masa depan adalah esok yang belum lahir tetapi selamatkanlah hari ini yang sedang hidup”.

Mungkin anda akan bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan? Tidak. Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok. Fikirkan hari esok tetapi jangan khuatir. Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini. Sebaliknya sesiapa yang berfikir untuk hari esok, akan memanfaatkan peluang pada hari ini.

Wallahua’lam

Petikan dan suntingan dari ’Solusi’ panduan hidup bersyariat.

Tuesday, 22 January 2013

CiCAk


Fokus pada kelebihan... Tidak kepada Kekurangan

Perhatikan cicak yang melekap di siling atau di dinding. Cicak memiliki kaki yang cukup unik..dapat melekat, melompat dan mendakap dengan begitu kuat dan cekap. Aneh sekali, makanan cicak ialah serangga yang boleh terbang. Lalat, kumbang kecil, nyamuk dan seumpamanya.
Kalau difikir secara logik, mana mungkin cicak yang hanya ada kaki yang melekap di dinding dan di siling mampu memburu mangsanya yang boleh terbang. Bukankah lebih sesuai jika Allah kurniakan untuk cicak sepasang sayap agar cicak juga mampu terbang bagi memburu mangsanya? Barulah adil.

Tetapi Allah SWT Maha Mangetahui. Sungguhpun cicak tidak dikurniai sayap, Allah mengurniakannya lidah yang panjang, mata yang tajam dan kecekapan yang luar biasa untuk mendapatkan rezekinya. Secara mudah, cicak tidak fokus pada kekurangannya sebaliknya ia menggunakan segala kelebihan yang ada. Hasilnya cicak tetap dijamin rezekinya. Ini yang manusia dapat pelajari dari cicak.

Sebagai manusia, kita ada kelebihan dan kekurangan. Justeru, untuk berjaya kita perlu tumpukan pada kekuatan yang ada. Mungkin kita miskin tetapi itu bukan penghalang untuk berjaya..tumpukan pada kerajinan kita. Mungkin fizikal kita agak lemah tetapi pertajamkanlah pemikiran kita.
Mungkin kita tidak berkelulusan tinggi tetapi kita masih boleh membina kredibiliti dengan menjalin hubungan yang baik dengan ketua, rakan sekerja dan dengan pelanggan syarikat. Dan kita masih berpeluang meningkatkan nilai potensi diri dengan bekerja secara bijak, memanfaatkan masa bekerja secara optimum dan menambah ilmu serta kemahiran. Tegasnya, jangan jadikan kekurangan sebagai satu alasan..tetapi tukarkan ia menjadi satu kelebihan!

Jadi apabila melihat cicak, kita harus sedar bahawa kita lebih mulia daripada cicak. Jika cicakpun ada kelebihannya, manusia sebagai khalifah Allah yang hebat tentu punya lebih daripada itu. Pandang kelebihan yang ada pada manusia. Percayalah, kelebihan pada diri kita lebih banyak dari kekurangannya. TUMPUKAN, GUNAKAN dan TINGKATKAN KELEBIHAN DIRI UNTUK BERJAYA!!!

Wallahua’lam

Petikan dan suntingan dari buku ‘Nota Fikir untuk Zikir‘ – Pahrol Mohd Juoi