Monday, 19 November 2012

Santapan Minda 1 - Belajarlah dari pokok kelapa


sumber gambar: http://www.arepnakbebel.com


Belajarlah dari pokok kelapa

Air kelapa boleh menghilangkan dahaga dan rasanya sungguh enak. Isi kelapa muda juga boleh dimakan bersama airnya. Isi kelapa tua pula sesuai dijadikan minyak kelapa dan boleh digunakan sebagai minyak masak, minyak rambut dan minyak urut. Daun kelapa muda boleh dianyam menjadi ketupat.
Lidi kelapa boleh dibuat penyapu juga boleh digunakan sebagai penyucuk buah, makanan dan kuih-kuih tradisional Melayu. Selain itu sabut kelapa boleh dijadikan tali atau guni. Tempurungnya boleh dibuat hasil kraftangan yang cantik dan asli. Batang pokok kelapa boleh dijadikan titian.

Demikianlah terlalu banyak yang dapat dimanfaatkan daripada pokok kelapa. Allah SWT menjadikan pokok kelapa untuk kegunaan manusia. Di sebalik semua ini seharusnya kita bertanya pada diri...jika pokok kelapa (dan hasil bumi yang lain juga) diciptakan untuk manusia, kita manusia diciptakan untuk apa?

Segala isi alam sebenarnya dipermudahkan untuk dikuasai dan digunakan kerana manusia ada tugas yang besar..sebagai khalifah di muka bumi ini. Seperti pokok kelapa, kita hendaklah memberi manfaat kepada diri sendiri, orang di sekeliling serta persekitaran kita. Memberi manfaat sudah tentu dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah, meninggalkan apa jua yang sia-sia dan merugikan. Lebih-lebih lagi yang boleh menyebabkan kemurkaan Allah.

Pokok kelapa telah menjalankan peranannya untuk kita..kita pula bagaimana? Isi, buah, air, lidi, daun dan lain-lain sudah dikorbankan untuk kita. Bagaimana pula pengorbanan kita bagi menjadi hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini? Belajarlah dari pokok kelapa!
                                                  
Petikan dan suntingan dari buku ‘Nota Fikir untuk Zikir‘ – Pahrol Mohd Juoi



























No comments:

Post a Comment